Simposium kebudayaan yang dianjurkan Pusat Kebudayaan al-Ibda Bagi Kajian dan Perkhidmatan Warisan, Universiti Sana’a dan Pusat Pengajian Islam al-Mustafa diadakan baru-baru ini, di ibu negara Yaman, Sana’a.
Ia dihadiri ramai saudara baru dari Barat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai Islam.
Seorang saudara baru rakyat Britain yang menukar namanya kepada Mos’ab menjelaskan mengapa ramai orang di Barat mengagumi Nabi Muhammad.
“Satu perkara menarik ialah walaupun tanpa televisyen dan internet, pengetahuan mengenai Baginda di Barat tetap ada,” katanya.
Sebagai contoh kata beliau, seorang sasterawan Perancis yang terkenal, Alphonse de la Martaine, dalam ‘Historie de La Turquie’ berkata: “Jika kita mahu mencari insan agung dan bijaksana yang berjaya mengubah dunia, siapakah yang dapat menandingi Nabi Muhammad”.
Seorang penulis Kristian Anglican, Barnaby Rogerson dalam bukunya ‘Prophet Muhammad: a Biography‘ menegaskan jika dilihat dari sudut mana sekalipun termasuk pandangan sekular, Baginda terus kekal sebagai ‘super hero’.
“Hanya dengan menggabungkan kualiti terbaik beberapa tokoh tamaduh Eropah, misalnya gabungan Iskandar Zulkarnain, Aristotle, Maharaja Constantine, St Paul dan St Francis, barulah anda akan mula memahami ukuran keagungan Baginda,” katanya.
Seorang lagi saudara baru, Herman dari Namibia dan dikenali sebagai Abdullah ketika menceritakan perjalanan hidupnya menuju Islam berkata, sebelum ini keutamaan hidupnya hanya wang.
“Saya mendapati diri dalam keadaan yang hanya mementingkan pakaian, telefon bimbit dan kasut, sama ada ia yang termahal dan fesyen terbaru. Kemudian berasa letih dan suatu hari saya menyoal diri sendiri mengenai sebabnya saya wujud di dunia ini” katanya.
“Ketika itu saya seorang Kristian dan saya belajar mengenai konsep satu campur satu tidak akan menjadi satu. Ia amat mengelirukan saya dan orang lain di sekeliling saya. Perkara lain yang meragukan saya ialah mengenai Nabi Lut dalam agama Kristian. Baginda sepatutnya dikasihi Allah, tetapi dalam ajaran Kristian, Lut dikatakan seorang pemabuk dan mengadakan hubungan seks dengan anak perempuannya sendiri,” katanya.
Abdullah berkata, Islam menggalakkan hubungan secara terus dengan Allah.
“Di dalam Islam kita bersembahyang lima kali sehari. Amalan ini memastikan hubungan dengan Allah berterusan dan tidak mungkin kita melupakan pencipta kita atau dilupakan Allah,” katanya.
Ketika kali pertama Abdullah mengambil keputusan memeluk Islam dan mengucap dua kalimah syahadah, dia berazam menjadi seorang Islam sekurang-kurangnya sebulan, tetapi kemudian mendapati Islam agama yang benar.
“Sekarang saya mahu berdakwah dan mengajak orang lain memeluk Islam,” katanya.
Ada beribu-ribu lagi kisah orang Barat yang sama dengan Abdullah dan Mos’ab mencari keredaan Allah dan memperoleh ketenangan selepas jemu dengan kehidupan materialistik di negara mereka.
Kebanyakan saudara baru memeluk Islam kerana amalan solat yang menekankan ‘penyerahan’ diri kepada Allah dan amaran jika mengingkari perintah-Nya.
“Dalam masyarakat yang mempunyai kumpulan minoriti dan tertindas, mereka mungkin mendapati Islam amat sesuai dengan diri mereka,” kata Waleed Kazziha dari Universiti Amerika di Kaherah.
Perkembangan Islam membimbangkan dunia Barat yang mempunyai pandangan negatif terhadap agama suci itu dan sering mengaitkannya dengan keganasan.
Bagaimanapun cendekiawan Islam menyatakan Islam adalah agama mengajar keamanan, kasih sayang, tolak ansur dan keadilan.
Malah perkataan Islam itu sendiri bermaksud menyerah diri kepada Allah, pada asalnya diambil daripada perkataan ‘Selm’ bermaksud keamanan.Tidak hairan jika orang Islam mengucapkan perkataan ‘Assalamualaikum’ (sejahteralah ke atas kamu) sesama Islam.
* petikan dari Berita Harian 3-Jun-2007
0 Komen:
Post a Comment