Allah s.w.t. telah menyanggah pandangan-pandangan tersebut:
(setelah kamu - Wahai kaum musyrik Makkah - mendengar keterangan Yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka Adakah kamu nampak Bahawa "Al-Laat" dan "Al-Uzza" - serta "Manaat" Yang ketiga, Yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)? (an-Najm (53): 19-20)
Tafsir ayat tersebut menurut imam al-Qurthubi, “Sudahkah engkau perhatikan baik-baik tuhan-tuhan ini. Apakah mereka boleh mendatangkan manfaat atau mudharat, sehingga mereka itu dijadikan sebagai sekutu-sekutu Allah?”
Allah berfirman:
Dan bacakanlah pula kepada mereka perihal Nabi Ibrahim. ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apa Yang kamu sembah?" mereka menjawab:
"Kami menyembah berhala-berhala, maka (kerana memuliakannya) Kami berkekalan menyembahnya" . Nabi Ibrahim bertanya: "Adakah berhala-berhala itu mendengar kamu semasa kamu menyerunya? "Atau mereka dapat memberikan sesuatu Yang ada manfaatnya kepada kamu ataupun menimpakan sesuatu bahaya?" mereka menjawab: "(Tidak satupun!) bahkan Kami dapati datuk nenek Kami berbuat demikian". (asy-Syu’ara (26): 69-74)
Mereka sepakat, berhala-berhala itu tidak berupaya untuk mendengar permohonan, tidak boleh mendatangkan manfaat serta mudharat. Akan tetapi mereka menyembahnya kerana taklid buta kepada nenek moyang mereka. Sedangkan taklid adalah hujjah yang batil.
Sanggahan Terhadap Penyembah Matahari, Bulan, Dan Bintang.
Allah s.w.t. berfirman:
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi Dalam enam masa lalu ia bersemayam di atas Arasy; ia melindungi malam Dengan siang Yang mengiringinya Dengan deras (silih berganti) dan (ia pula Yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (Semuanya) tunduk kepada perintahNya. ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha suci Allah Yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam. (al-A’raaf (7): 54)
Dan di antara tanda-tanda kekuasaannya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah Yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah. (Fushilat (41): 37)
Sanggahan Terhadap Penyembah Malaikat Dan Nabi Isa atas Dasar anggapan Sebagai Anak Allah
Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang Tuhan bersamaNya; (Kalaulah ada banyak Tuhan) tentulah tiap-tiap Tuhan itu akan Menguasai dan menguruskan Segala Yang diciptakannya Dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya Yang lain. Maha suci Allah dari apa Yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu. (al-Mu’minuun (23): 91)
(Dia lah) Yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah ia mempunyai anak sedang ia tidak mempunyai isteri? ia pula Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha mengetahui akan segala-galanya. (al-An’am (6): 101
Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa denganNya". (al-Ikhlas (112): 1-4)
Alam Semesta Dan Fitrahnya Dalam Tunduk Dan Patuh Kepada Allah
Sesungguhnya alam semesta ini seluruhnya tunduk kepada Allah dan patuh kepada kauniyah-Nya. Allah s.w.t. berfirman:
Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk Yang ada di langit dan di bumi, sama ada Dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadanya lah mereka dikembalikan. (Ali Imran (3): 83)
Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: "Allah mempunyai anak". Maha suci Allah (dari apa Yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki Segala Yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya. (al-Baqarah (2): 116)
Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk Yang bergerak serta Malaikat; sedang mereka
(Malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadanya). (an-Nahl: 49)
Tidakkah Engkau mengetahui Bahawa Segala Yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? dan banyak pula (di antara manusia) Yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa Yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun Yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa Yang dirancangkanNya. (al-Hajj (22): 18)
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk Yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada Dengan sukarela atau Dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. (ar-Ra’d (13): 15)
Jadi seluruh alam semesta ini tunduk kepada Allah, patuh kepada kekuasaan-Nya, berjalan menurut kehendak dan perintah-Nya. Tidak satu pun makhluk yang meningkari-Nya. Semua menjalankan tugas dan peranannya masing-masing serta berjalan menurut aturan yang sangat sempurna. Penciptanya sama sekali tidak memiliki sifat kurang, lemah, dan cacat.
Allah s.w.t. berfirman:
Langit Yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk Yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih Dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya ia adalah Maha penyabar, lagi Maha Pengampun. (al-Isra (17): 44)
Jadi, seluruh makhluk, baik yang berbicara mahupun yang tidak, yang hidup mahupun yang mati, semuanya tunduk kepada perintah kauniyah Allah. Semuanya menyucikan Allah dari segala kekurangan dan kelemahan, baik secara keadaan mahupun ucapan.
Orang berakal pasti semakin merenungkan makhluk-makhluk ini, semakin yakin itu semua diciptakan dengan haq dan untuk yang haq. Bahawasanya ia diatur dan tidak ada pengaturan yang keluar dari aturan Penciptanya. Semua meyakini Sang Pencipta dengan fitrahnya.
Imam Ibnu Taimiyah berkata, “Mereka tunduk menyerah, pasrah dan terpaksa dari berbagai segi, di antaranya:
1 – Keyakinan bahawa mereka sangat memerlukan-Nya.
2 – Kepatuhan mereka kepada qadha’, qadar, dan kehendak Allah yang ditulis atas mereka.
3 – Permohonan mereka kepada-Nya ketika dalam keadaan darurat atau tersepit.
Seorang mukmin tunduk kepada perintah Allah secara ridha dan ikhlas. Begitulah juga ketika mendapat ujian, ia sabar menerima-nya. Jadi ia tunduk dan patuh dengan penuh redha dan ikhlas.” (Majmu’ Fatawa, I, hal. 45)
Sedangkan orang kafir, maka ia tunduk kepada perintah Allah yang bersifat kauni (sunnatullah) .
Adapun maksud dari sujudnya alam dan benda-benda adalah ketundukan mereka kepada Allah. Dan masing-masing benda bersujud menurut kesuaiannya, iaitu suatu sujud yang sesuai dengan keadaannya serta mengandungi makna tunduk kepada al-Rabb. Dan bertasbihnya masing-masing benda adalah hakikat, bukan majaz, dan itu sesuai dengan keadaannya masing-masing.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah menafsirkan firman allah s.w.t.:
Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk Yang ada di langit dan di bumi, sama ada Dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadanya lah mereka dikembalikan. (Ali Imran (3): 83)
Dengan mengatakan, “Allah s.w.t. menyebutkan ketundukan benda-benda secara sukarela dan terpaksa, kerana seluruh makhluk wajib beribadah kepada-Nya dengan penghambaan yang umum, tidak peduli apakah ia mengakui-Nya atau mengingkari- Nya. Mereka semua tunduk dan diatur. Mereka patuh dan pasrah kepada-Nya secara rela mahupun terpaksa. (Majmu’ Fatawa, X, hal. 200)
Tidak satu pun dari makhluk ini yang keluar dari kehendak, takdir, dan qadha’-Nya. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah. Dia adalah Pencipta dan Penguasa alam. Semua milik-Nya. Dia bebas berbuat terhadap ciptaan-Nya sesuai dengan kehendak-Nya. Semua dikendalikan- Nya. Dialah Yang Maha Suci, Maha Esa, Maha Perkasa, Maha Pencipta, Pembuat dan Pembentuk.
MANHAJ AL-QUR’AN DALAM MENETAPKAN WUJUD DAN KEESAAN AL-KHALIQ
Manhaj al-Qur’an dalam menetapkan wujud al-Khaliq serta keesaan-Nya adalah satu-satunya manhaj yang sejalan dengan fitrah yang lurus dan akal yang sihat. Iaitu dengan mengemukakan bukti-bukti yang benar, yang membuat akal mahu menerima dan musuh pun menyerah. Di antara dalil-dalil itu adalah:
1 – Sudah menjadi kepastian, setiap yang baru tentu ada yang mengadakan. Ini adalah sesuatu yang dimaklumi setiap orang melalui fitrah, bahkan hingga oleh anak-anak. Jika seseorang anak dipukul oleh seseorang ketika sedang lalai dan tidak melihatnya, ia pasti akan berkata (atau mencari), “siapakah yang telah memukulku?” Kalau dikatakan kepadanya, “Tidak ada sesiapa yang memukulmu”, maka akalnya pasti tidak akan dapat meenrima-nya. Bagaimana mungkin ada pukulan tanpa ada yang melakukannya. Kalau dikatakan kepadanya, “si Fulan yang memukulmu”, maka kemungkinan ia akan menangis sampai mungkin akan membalas pukulan ke atasnya tadi. Kerana itu, Allah s.w.t. berfirman:
(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta Dengan tiada Yang menciptanya, atau Adakah mereka Yang mencipta diri mereka sendiri? (at-Thur (52): 35)
Ini adalah pembahagian yang membatasi, yang disebutkan Allah dengan shighat istifham inkari (bentuk pertanyaan menyangkal), bagi tujuan menjelaskan bahawa mukaddimah ini sudah merupakan aksioma (kebenaran yang nyata), yang tidak mungkin lagi diingkari. Dia berfikir tanpa tanpa pencipta yang menciptakan mereka, ataukah mereka menciptakan diri mereka sendiri? Tentu tidak. Kedua hal itu sama-sama batil. Maka tidak ada kemungkinan lain kecuali mereka mempunyai pencipta yang menciptakan mereka iaitu Allah s.w.t., dan tidak ada lagi pencipta lain-Nya. Allah s.w.t. berfirman:
Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah Yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk Yang lain daripadanya (yang kamu sembah itu)? (tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang Yang zalim (dengan perbuatan syiriknya) itu berada Dalam kesesatan Yang jelas nyata. (Luqman (31): 11)
Katakanlah (Wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik Yang menentangmu) : "Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk - makhluk Yang kamu seru dan sembah Yang lain dari Allah? tunjukkanlah kepadaKu apakah Yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini? atau Adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) Dalam mencipta dan menguruskan langit? bawalah kamu kepadaKu sebuah Kitab (dari Allah) Yang lain dari Al-Quran ini, atau sebarang keterangan Yang berdasarkan ilmu (peninggalan orang-orang Yang telah lalu) kalau betul kamu orang-orang Yang benar (tentang dakwaan kamu itu)!" (al-ahqaaf (46): 4)
Bertanyalah (Wahai Muhammad): "Siapakah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi?" Jawablah: "Allah". Bertanyalah lagi: "Kalau demikian, Patutkah kamu menjadikan benda-benda Yang lain dari Allah sebagai Pelindung dan Penolong, Yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri, dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya?" Bertanyalah lagi: "Adakah sama, orang Yang buta Dengan orang Yang celik? atau Adakah sama, gelap-gelita Dengan terang? atau Adakah makhluk-makhluk Yang mereka jadikan sekutu bagi Allah itu telah mencipta sesuatu seperti ciptaanNya, sehingga ciptaan-ciptaan itu menjadi kesamaran kepada mereka?" katakanlah: "Allah jualah Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa". (ar-Ra’d (13): 16)
Wahai umat manusia, Inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya Dengan bersungguh-sungguh. sebenarnya mereka Yang kamu seru dan sembah, Yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat Walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah Yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah Yang diminta (daripada menunaikannya) . (al-Hajj (22): 73)
Dan makhluk-makhluk Yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menciptakan sesuatupun, bahkah merekalah Yang diciptakan. (an-Nahl (16): 20)
Kalau sudah demikian, Adakah Allah Yang menciptakan semuanya itu sama seperti makhluk-makhluk Yang tidak menciptakan sesuatu? maka Patutkah kamu lalai sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya? (an-Nahl (16): 17)
Telah jelas cabaran pun telah diajukan melalui dalil yang berulang-ulang, namun tidak seorang pun yang mampu mengaku bahawa dia telah menciptakan sesuatu. Pengakuan atau dakwaan sahaja pun tidak ada, apalagi menetapkan dengan bukti. Jadi, ternyata amat benarlah hanya Allah Pencipta sekalian alam, dan tidak ada sekutu bagi-Nya.
2 – Teraturnya semua urusan alam, juga kerapiannya adalah bukti paling kuat yang menunjukkan bahawa pengatur alam ini hanyalah Tuhan yang satu, yang tidak bersekutu atau pun berseteru. Allah s.w.t. berfirman:
Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang Tuhan bersamaNya; (Kalaulah ada banyak Tuhan) tentulah tiap-tiap Tuhan itu akan Menguasai dan menguruskan Segala Yang diciptakannya Dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya Yang lain. Maha suci Allah dari apa Yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu. (al-Mukminuun (23): 91)
Tuhan yang hak harus menjadi pencipta sejati. Jika ada tuhan lain di dalam kerajaannya, tentu tuhan itu juga berupaya mencipta akan sesuatu. Ketika itu, pasti ia tidak akan rela adanya tuhan lain bersamanya. Bahkan, seandainya ia mampu mengalahkan temannya dan menguasai sendiri kerajaan serta ketuhanan, tentu telah ia lakukan. Apabila ia tidak mampu mengalahkannya, pasti ia akan hanya mengurus kerajaan miliknya. Sebagaimana raja-raja di dunia mengurus kerajaannya sendiri-sendiri. Maka terjadilah perpecahan, sehingga perlunya terjadi salah satu daripada tiga perkara berikut:
- Salah satunya mampu mengalahkan yang lain dan menguasai alam sendirian.
- Masing-masing berdiri sendiri dalam kerajaan dan penciptaan, sehingga terjadi pembahagian (kekuasaan).
- Kedua-duanya berada dalam kekuasaan seorang raja yang bebas dan berhak berbuat apa saja terhadap keduanya. Dengan demikian maka dialah yang menjadi tuhan yang hak, sedangkan yang lain adalah hambanya.
Dan kenyataannya, dalam alam ini tidak terjadi pembahagian (kekuasaan) dan ketidakberesan. Hal ini menunjukkan pengaturnya adalah Satu dan tidak seorang pun menentang-Nya. Dan bahawa Rajanya adalah Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya.
3- Tunduknya makhluk-makhluk untuk melaksanakan tugasnya sendiri-sendiri serta mematuhi peranan dan fungsi yang diberikan-Nya. Tidak ada satu pun makhluk yang membangkang dari melaksanakan tugas dan fungsinya di alam semesta ini. Inilah yang dijadikan hujjah oleh Nabi Musa a.s. ketika ditanya Fir’aun:
(setelah mereka menyampaikan perintah Allah itu), Firaun berkata: "Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?" Nabi Musa menjawab: "Tuhan Kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: bentuk kejadiannya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya" . (Thaha (20): 49-50)
Jawaban Musa sungguh tepat dan kukuh “Tuhan Kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: bentuk kejadiannya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk.” Maksudnya, Tuhan kami yang telah menciptakan semua makhluk dan memberi masing-masing makhluk suatu ciptaan yang tepat untuknya; mulai dari ukuran, besar atau kecilnya atau sederhana serta seluruh sifatnya yang ada padanya. Kemudian menunjukkan kepada setiap makhluk tugas dan fungsinya. Petunjuk ini adalah hidayah yang sempurna, yang dapat disaksikan pada setiap makhluk. Setiap makhluk kamu dapati melaksanakan apa yang menjadi tugasnya. Apakah itu dalam mencari manfaat atau menolak bahaya. Sehingga haiwan ternak pun diberi-Nya sebahagian dari akal yang membuatnya mampu melakukan perkara yang bermanfaat baginya dan mengusir bahaya yang mengancamnya, dan juga mampu melakukan tugasnya dalam kehidupan.
Ini seperti firman Allah s.w.t.:
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu Dengan sebaik-baiknya. .. (as-Sajdah (32): 7)
Jadi yang telah menciptakan semua makhluk dan memberinya sifat penciptaan yang baik, yang mana manusia tidak mampu mengadakannya, juga menunjukkan kepada kemaslahatannya masing-masing adalah Tuhan yang sebenarnya. Mengingkari- Nya adalah mengingkari wujud yang paling agung. Dan hal itu merupakan kedangkalan atau kebohongan yang terang-terangan.
Allah memberi semua makhluk segala keperluannya di dunia, kemudian menunjukkan cara-cara pemanfaatannya. Dan tidak syak lagi jika Dia telah memberi setiap jenis makhluk suatu bentuk dan rupa yang sesuai dengannya. Dia telah memberi setiap lelaki dan perempuan bentuk yang sesuai dengan jenisnya, baik dalam pernikahan, perasaan, mahupun unsur sosial. Juga telah memberi setiap anggota tubuh bentuk yang sesuai untuk suatu manfaat yang telah ditentukan-Nya. Semua ini adalah bukti-bukti nyata bahawasanya Allah s.w.t. adalah Tuhan bagi segala sesuatu, dan Dia berhak disembah, dan bukannya yang lain.
“Pada setiap benda terdapat bukti bagi-Nya, yang menunjukkan Bahawa Dia adalah Esa.”
Kemudian, tidak diragukan lagi, maksud penetapan rububiyyah Allah atas makhluk-Nya dan keesaannya dalam rububiyah adalah untuk menunjukkan wajibnya menyembah Allah semata, tanpa sekutu bagi-Nya, iaitu Tauhid Uluhiyyah.
Seandainya seseorang mengakui Tauhid rububiyah tetapi tidak mengimani tauhid uluhiyah, atau tidak mahu melaksanakannya, maka ia tidak menjadi muslim dan bukan ahli tauhid, bahkan ia adalah kafir jahid (yang menentang). Dan tema inilah yang akan kita bahas pada tajuk berikutnya, InsyaALLAH.
TAUHID RUBUBIYAH MENGHARUSKAN ADANYA TAUHID ULUHIYAH
Hal ini bererti siapa yang mengakui tauhid rububiyah untuk Allah, dengan mengimani bahawa tidak ada pencipta, pemberi rezeki dan pengatur alam kecuali Allah, maka ia juga harus (wajib) mengakui bahawa tidak ada yang berhak menerima ibadah (disembah) dengan segala macamnya (menurut kaedahnya) kecuali Allah s.w.t sahaja. Dan itulah merupakan asas kepada konsep tauhid uluhiyah.
Tauhid uluhiyah, iaitu tauhid ibadah, kerana ilah maknanya adalah ma’bud (yang disembah). Maka tidak ada yang diseru dalam doa kecuali Allah, tidak ada yang dimintai pertolongan kecuali Dia, tidak ada yang boleh dijadikan tempat bergantung kecuali Dia, tidak boleh menyembelih kurban atau bernadzar kecuali untuk-Nya (atau kerana-Nya), dan tidak boleh mengarahkan seluruh ibadah kecuali untuk-Nya dan kerana-Nya semata-mata.
Jadi, tauhid rububiyah adalah bukti wajibnya tauhid uluhiyah. Kerana itu seringkali Allah membantah orang yang mengingkari tauhid uluhiyah dengan tauhid rububiyah yang mereka akui dan yakini.
Seperti firman Allah s.w.t.:
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu Yang telah menciptakan kamu dan orang-orang Yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. Dia lah Yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta Segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina Dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya Dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan Yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). (al-Baqarah (2): 21-22)
Allah memerintahkan mereka bertauhid uluhiyah, iaitu menyembah-Nya dan beribadah kepada-Nya. Dia menunjukkan dalil kepada mereka dengan tauhid rububiyah, iaitu penciptaan-Nya terhadap manusia dari yang pertama hingga yang terakhir, penciptaan langit dan bumi serta seisinya, penurunan hujan, penumbuhan tumbuh-tumbuhan, pengeluaran buah-buahan yang menjadi rezeki bagi para hamba. Maka sangat tidak wajar bagi mereka jika menyekutukan Allah dengan yang lain-Nya; dari benda-benda atau pun orang-orang yang mereka sendiri mengetahui bahawa ia tidak berupaya berbuat apa-apa sesuatu pun dari hal-hal tersebut di atas dan lainnya.
Maka jalan fitrah untuk menetapakan uluhiyah adalah berdasarkan tauhid rububiyah. Kerana manusia pertama kalinya sangat bergantung kepada asal kejadiannya, sumber kemanfaatan dan kemudharatannya. Setelah itu berpindah kepada cara-cara bertaqarrub kepada-Nya, cara-cara yang boleh membuat redha-Nya dan menguatkan hubungan antara dirinya dengan Tuhannya. Maka tauhid rububiyah adalah pintu masuknya kepada tauhid uluhiyah. Kerana itu Allah s.w.t. berhujah atas orang-orang yang musyrik dengan cara ini. Dia juga memerintahkan Rasul-Nya untuk berhujah atas mereka seperti itu. Allah s.w.t. berfirmn;
Tanyakanlah (Wahai Muhammad): "Kepunyaan siapakah bumi ini dan Segala Yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?" mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah". katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?" Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan Yang memiliki dan mentadbirkan langit Yang tujuh, dan Tuhan Yang mempunyai Arasy Yang besar?" mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?" Tanyakanlah lagi: siapakah Yang memegang Kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun Yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui!" mereka akan menjawab: "(Segala-galanya) dikuasai Allah". katakanlah: "Jika demikian, Bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara Yang tidak benar?" (al-Mukminuun (23): 84-89)
Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka Beribadatlah kamu kepadaNya. dan (ingatlah) Dia lah Yang mentadbirkan segala-galanya. (al-An’am (6): 102)
Dia berdalil dengan tauhid rububiyah-Nya atas hak-Nya untuk disembah. Tauhid uluhiyah inilah yang menjadi tujuan dari penciptaan manusia. Allah s.w.t. berfirman:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (adz-Dzariyat (51): 56)
Erti “” adalah mentauhidkan- Ku dalam ibadah. Seorang hamba tidaklah menjadi muwahhid hanya dengan mengakui tauhid rububiyah semata-mata, tetapi ia harus mengakui tauhid uluhiyah serta mengamalkannya. Kalau tidak, maka sesungguhnya orang musyrik pun mengakui tauhid rububiyah, tetapi hal ini tidak membuat mereka masuk dalam Islam, bahkan Rasulullah s.a.w. memerangi mereka. Padahal mereka mengakui bahawa Allah-lah Sang Pencipta, Pemberi Rezeki, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Firman Allah s.w.t.:
Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah Yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka Bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya) ? (az-Zukhruf (43): 87)
Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): "Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? atau siapakah Yang Menguasai pendengaran dan penglihatan? dan siapakah Yang mengeluarkan makhluk Yang hidup dari benda Yang mati, dan mengeluarkan benda Yang mati dari makhluk Yang hidup? dan siapakah pula Yang mentadbirkan urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan-pertanya an itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) Dengan berkata: "Allah jualah Yang Menguasai segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah: "(Jika kamu mengakui Yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa? (Yunus (10): 31)
Hal semacam ini banyak sekali dikemukakan di dalam al-Qur’an. Maka barangsiapa mengira bahawa tauhid itu hanya meyakini wujud Allah, atau meyakini bahawa Allah adalah al-Khaliq yang mengatur alam, maka sesungguhnya orang tersebut belumlah mengetahui hakikat tauhid yang dibawa oleh para Rasul. Kerana sesungguhnya ia hanya mengakui sesuatu yang diharuskan, dan meninggalkan sesuatu yang mengharuskan; atau berhenti hanya sampai pada dalil tetapi ia meninggalkan isi dan dari dalil tersebut.
Di antara kekhususan ilahiyah adalah kesempurnaan- Nya yang mutlak dalam segala segi, tidak ada cela atau kekurangan sedikit pun. Ini mengharuskan semua ibadah mesti tertuju kepada-Nya; pengagungan, penghormatan, kecintaan, rasa takut, doa, pengharapan, taubat, tawakkal, minta pertolongan, penghambaan dengan rasa cinta yang paling dalam, semua itu adalah wajib secara akal, syara’ dan fitrah agar ditujukan khusus kepada Allah s.w.t. semata-mata. Juga secara akal, syara’ dan fitrah, tidak mungkin hal itu boleh ditujukan kepada selain-Nya.
Tajuk selanjutnya akan menyusul: Tauhid Uluhiyah
Kitab asal: (at-Tauhid Lish-Shafil Awwal al-'Ally) oleh Sheikh Dr. Soleh Fauzan Bin Fauzan Bin Abdullah al-Fauzan.