03 June 2007

Barat gusar Islam berkembang pesat

Leave a Comment
ISLAM kini menjadi agama paling popular di dunia, kata Hashem al-Attas, seorang penyelidik di Dar al-Mustafa bagi Pendidikan Islam Tradisional, di Yaman.

“Banyak kajian menunjukkan Islam berkembang lebih cepat berbanding agama lain,” katanya pada satu persidangan mengenai perkembangan pesat Islam di Barat.

Simposium kebudayaan yang dianjurkan Pusat Kebudayaan al-Ibda Bagi Kajian dan Perkhidmatan Warisan, Universiti Sana’a dan Pusat Pengajian Islam al-Mustafa diadakan baru-baru ini, di ibu negara Yaman, Sana’a.

Ia dihadiri ramai saudara baru dari Barat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai Islam.

Seorang saudara baru rakyat Britain yang menukar namanya kepada Mos’ab menjelaskan mengapa ramai orang di Barat mengagumi Nabi Muhammad.

“Satu perkara menarik ialah walaupun tanpa televisyen dan internet, pengetahuan mengenai Baginda di Barat tetap ada,” katanya.

Sebagai contoh kata beliau, seorang sasterawan Perancis yang terkenal, Alphonse de la Martaine, dalam ‘Historie de La Turquie’ berkata: “Jika kita mahu mencari insan agung dan bijaksana yang berjaya mengubah dunia, siapakah yang dapat menandingi Nabi Muhammad”.

Seorang penulis Kristian Anglican, Barnaby Rogerson dalam bukunya ‘Prophet Muhammad: a Biography‘ menegaskan jika dilihat dari sudut mana sekalipun termasuk pandangan sekular, Baginda terus kekal sebagai ‘super hero’.

“Hanya dengan menggabungkan kualiti terbaik beberapa tokoh tamaduh Eropah, misalnya gabungan Iskandar Zulkarnain, Aristotle, Maharaja Constantine, St Paul dan St Francis, barulah anda akan mula memahami ukuran keagungan Baginda,” katanya.

Seorang lagi saudara baru, Herman dari Namibia dan dikenali sebagai Abdullah ketika menceritakan perjalanan hidupnya menuju Islam berkata, sebelum ini keutamaan hidupnya hanya wang.

“Saya mendapati diri dalam keadaan yang hanya mementingkan pakaian, telefon bimbit dan kasut, sama ada ia yang termahal dan fesyen terbaru. Kemudian berasa letih dan suatu hari saya menyoal diri sendiri mengenai sebabnya saya wujud di dunia ini” katanya.

“Ketika itu saya seorang Kristian dan saya belajar mengenai konsep satu campur satu tidak akan menjadi satu. Ia amat mengelirukan saya dan orang lain di sekeliling saya. Perkara lain yang meragukan saya ialah mengenai Nabi Lut dalam agama Kristian. Baginda sepatutnya dikasihi Allah, tetapi dalam ajaran Kristian, Lut dikatakan seorang pemabuk dan mengadakan hubungan seks dengan anak perempuannya sendiri,” katanya.

Abdullah berkata, Islam menggalakkan hubungan secara terus dengan Allah.

“Di dalam Islam kita bersembahyang lima kali sehari. Amalan ini memastikan hubungan dengan Allah berterusan dan tidak mungkin kita melupakan pencipta kita atau dilupakan Allah,” katanya.

Ketika kali pertama Abdullah mengambil keputusan memeluk Islam dan mengucap dua kalimah syahadah, dia berazam menjadi seorang Islam sekurang-kurangnya sebulan, tetapi kemudian mendapati Islam agama yang benar.

“Sekarang saya mahu berdakwah dan mengajak orang lain memeluk Islam,” katanya.

Ada beribu-ribu lagi kisah orang Barat yang sama dengan Abdullah dan Mos’ab mencari keredaan Allah dan memperoleh ketenangan selepas jemu dengan kehidupan materialistik di negara mereka.

Kebanyakan saudara baru memeluk Islam kerana amalan solat yang menekankan ‘penyerahan’ diri kepada Allah dan amaran jika mengingkari perintah-Nya.

“Dalam masyarakat yang mempunyai kumpulan minoriti dan tertindas, mereka mungkin mendapati Islam amat sesuai dengan diri mereka,” kata Waleed Kazziha dari Universiti Amerika di Kaherah.

Perkembangan Islam membimbangkan dunia Barat yang mempunyai pandangan negatif terhadap agama suci itu dan sering mengaitkannya dengan keganasan.

Bagaimanapun cendekiawan Islam menyatakan Islam adalah agama mengajar keamanan, kasih sayang, tolak ansur dan keadilan.

Malah perkataan Islam itu sendiri bermaksud menyerah diri kepada Allah, pada asalnya diambil daripada perkataan ‘Selm’ bermaksud keamanan.Tidak hairan jika orang Islam mengucapkan perkataan ‘Assalamualaikum’ (sejahteralah ke atas kamu) sesama Islam.

* petikan dari Berita Harian 3-Jun-2007
Read More...

25 May 2007

Peribadi Soleh-Solehah - Anda Mampu Milikinya!

Leave a Comment

Em... Zaman ini, zaman yang penuh dengan fitnah terhadap kita semua... maksiat dan kerosakan sangat berleluasa.. . wanita dan lelaki kelihatan sama sahaja, tiada jurang pembeza yang ketara lagi.

Pakaian? Em, kelihatan seakan-akan sama saja. Agama? Em, entah... macam mereka dah tak peduli je... ada masa ke nak fikir pasal agama ni?
Em, kerana apa yer? Kerana lenyapnya peribadi soleh dan solehah agaknya...

Ku tinjau-tinjau,

Tak kira jantina, ada saja di mana-mana. Bersesak-sesak di pasar? Yup, ada... ramai sangat... di pawagam? Yup, ramai juga... em, di tempat melepak dan restoran? Lagi ramai! Laki dan wanita, campur aje... Em, di pesta buku pulak? Em, alhamdulillah masih ramai (harap-harap tidak silap beli buku)... em, di masjid? ...sedih, tak ramai, sikit sangat. Di kuliah-kuliah ilmu? Macam dah tak minat jer nak datang...

Ya Allah,

Sukarnya mencari wanita yang solehah...

Manakala bagi wanita, sukarnya mencari lelaki yang soleh...

Aii... iyeke?

Kesiannya anda sekalian... yang lelaki susah nak cari yang solehah...

Yang wanita pulak, susahnya nak mencari yang soleh!

Hehe... teringat cabaran sahabat-sahabiyah yang baru grad yang duk tengah sibuk nak cari calon pasangan suami atau isteri...

Ke mana sang soleh-solehah menghilang yer?

Takkan pupus kot?

Takdelah... mana boleh pupus pulak...

Takkan pupus punya,

Hai sahabat, kalaulah anda yang jadi soleh, tak kan timbul lagi perkara ni... so, senanglah si solehah nak cari anda... so, persoalannya andalah yang kena mulakan... kena ada mahu... letakkan iltizam...

Then, muslimat... macam mana dengan anda? Takkan nak suruh lelaki je yang mula dulu? Anda bagaimana? Bila nak mula? Tak adillah sebelah pihak jer...
Ingat... anda kena mula juga...

Anda perlu tahu, orang yang soleh akan mencari wanita yang solehah. Tak nak lah wanita yang diluar standard solehah! Lelaki soleh... tentu mahu pasangannya wanita solehah! Ha, barulah kena kan?

So, sebagai kesimpulan.. .

Anda-anda semualah yang kena mulakan...

So, jom berlumba-lumba jadi insan soleh-solehah. .. bukan kerana nak cari pasangan yer? Tapi, mestilah kerana Allah... then, insyaAllah, tenang jiwa anda... damai...

Bersama redha Ilahi pastinya...

Insan soleh-solehah pun akan datang cari anda...

Emm.. jangan berlumba-lumba jadi mat rempit pulak yer... maklumlah, mat rempit pun dah tukar profession.. . dah jadi penerjun di kutub utara tu! So, anda bila lagi? Jom lah jadi insan soleh-solehah. .. insan yang mulia di sisi Allah mahupun manusia...

Ok?

Em, wahai insan yang bernama wanita... sahabat yang bergelar lelaki... jangan buang masa... marilah kita check or semak semula, apa dia prinsip soleh-solehah tu yer?

Ada ker dalam diri kita prinsip-prinsip tu? Ade ke personaliti soleh-solehah tu pada kita?

Takkan sikit pun tak ada?

Sedihnya kalau tak ada... rugilah anda nanti...

Baik cepat-cepat setelkan! Jangan lambat...

Em... sebagai basic... mulakanlah dengan mengenali asas-asas Islam... iman mesti mau dijaga. Lakukanlah solat dengan sempurna - cukup lima waktu, tonjolkan imej-imej insan yang Islami...

Di samping lakukan solat sempurna... tambahkanlah sedikit-demi- sedikit solat-solat sunat...

Then, belajar-belajarlah praktikkan personaliti (adab-adab) insan soleh-solehah. . Em, mulakanlah dengan memakai pakaian yang sopan, bertingkah-laku dengan baik dan jauhi perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Yang solehah, tinggalkanlah pakaian-pakaian sempit tu! Belajar-belajarlah pakai tudung. Cari baju yang labuh... Kasi tutup lebih rapat dan sempurna daripada biasa. Jangan beri orang tengok percuma lagi. Barulah nampak yang diri anda tu mahal dan bukan bahan lelongan free-show. Orang lelaki pasti rasa insaf dan tunduk malu bila tengok anda nanti..

Em, seterusnya.. . perlu difahami, bahawa... semua tu perlukan bimbingan ilmu yang jelas...

Jadi, jangan lupa selalu-selalukanlah hadir ke majlis-majlis dan kuliah-kuliah ilmu...

Amal tanpa ilmu, takut-takut tersesat pulak nanti... Niat di hati nak jadi baik, lain pulak jadinya nanti...

Jadi... untuk menjadi insan soleh-solehah. .. anda perlukan ilmu...

Banyakkanlah membaca... di samping jangan lupa mendapatkan bimbingan... supaya tak tersalah ilmu pulak karang!
Em... susah ke?

Senang je ni... basic semua ni...

InsyaALLAH.. . anda mampu lakukan... ingat! Anda perlu mulakan... jangan biarkan golongan yang tidak soleh-solehah bertambah di luar sana. Sesak nafas kan kita tengok!!!

Bukan kesan baik yang terhasil... bukan sahaja manusia yang susah...
Haiwan dan tumbuhan, malahan objek-objek tak bernyawa pun menerima akibatnya...

Kalau perbuatan tu dah dilarang oleh agama, tak mungkinlah ia wajar lagi dipandang baik, dan mustahillah kesannya akan baik dan disenangi...

Ayuh... tanamkan azam, tambahkan ilmu, tingkatkan amalan, tunjukkan personaliti Islami... bergerak ke arah peribadi insan soleh-solehah. ..

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujuraat: 13)
Read More...

Kesalahan Dan Kebatilan Selawat Syifa' Yang boleh Membawa Syirik

2 comments
Perkataan Selawat Syifa' sering kita dengar dan lihat dalam masyarakat kita. Selawat ini pada mulanya telah terbudaya di kalangan masyarakat Islam di Malaysia sebagai bacaan eksklusif dan peribadi, tetapi kelihatan menjadi semangkin popular sehingga ada yang menjadikannya zikir dan doa selepas solat fardhu atau sebagai pembuka ucapan secara kekal. Lafaz selawat yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:

Maksudnya: "Ya Allah! Selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, penawar hati dan pengubatnya (hati), penyihat badan dan penyembuhnya (badan), pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya, juga ke atas ahli keluarga dan sahabat Baginda serta berkati sejahterakanlah. " (Prof. Dr. Harun Din & Amran Kasimin, Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan al-Sunnah, hal. 32)

Terjemahan yang didasarkan kepada kedudukan i'rab ini seolah-olah telah menyifatkan Nabi Muhammad saw dengan sifat maha perawat, maha pengubat, maha penyihat maha penyembuh, maha peberi cahaya, dan maha pemancarnya. Persoalannya, apakah harus menyifatkan Nabi Muhammad saw dengan sifat demikian, sedangkan ia adalah sifat-sifat khusus bagi Allah swt yang tidak boleh dikongsi oleh sebarang makhluk ? Apakah alasan yang mewajarkan penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat-sifat tersebut?

Prinsip ilmu tauhid telah menetapkan bahawa Alah swt itu maha esa dan wajib diesakan pada sifat-sifatnya sebagaimana dia juga wajib diesakan pada rububiyyahnya dan uluhiyyahnya. (al-Uthaimin, Muhammad bin Soleh, Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ter. Muhamad Yusuf Harun)

Nama-nama dan sifat-sifat yang khusus bagi Allah swt tidak boleh dikongsi dengan sebarang makhluk kerana perkongsian itu berakna mensyirikkan( menyekutukan) sifat makhluk dengan sifat al-Khaliq. (al-Qahtani: Sa'id Ibn 'Ali, Syarh Asma' al-Husna fi Dau' al-Kitab wa al-Sunnah, hal. 51)

Allah swt berfirman:

Maksudnya: "Tiada sesuatu yang sebanding dengan (Zat, Sifat-sifat dan pentadbiran) Nya, dan Dialah yang maha mendengar lagi maha melihat." (al-Syura: 11)

Allah swt juga berfirman:

Maksudnya: "Dan apabila aku sakit, Maka dialah (Allah swt) yang menyembuhkan penyakitku." (al-Syu'ara: 80)
Dalam sebuah hadith baginda saw mengajar umatnya agar membaca doa berikut:

Maksudnya: "Ya Allah tuhan sekelian manusia, maha penghilang segala penyakit, sembuhkanlah! Engkaulah maha penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan engkau dan tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhan engkau. Sembuhkanlah dengan suatu sembuhan yang tidak meninggalkan penyakit sedikitpun." (Riwayat al-Bukhari)

Ungkapan: "Engkaulah yang maha penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan engkau." jelas menunjukkan bahawa sifat penyembuh itu adalah sifat khusus bagi Allah swt yang tidak boleh dikongsi oleh makhluk. Struktur ayat yang mengandungi nafy (penafian) dan huruf nafy (La) dan diikuti ithbat (penetapan) dengan huruf istithna' (illa) memberi konsekuensi penafian dan penetapan yang kuat, sama seperti ungkapan kalimah Tauhid La Ilaha Illallah yang menfikan segala tuhan selain Allah dan menetapkan ketuhanan itu padanya semata-mata.

Dengan perkataan lain, doa yang diajarkan oleh Nabi saw ini menafikan sifat penyembuh bagi selain Allah swt dan menetapkan sifat itu padaNya semata-mata, sedangkan lafaz Selawat Syifa' itu pula menetapkan sifat penyembuh itu pada baginda saw jesteru, lafaz Selawat Syifa' itu dilihat mengandungi unsur-unsur syirik yang jelas bercanggah dengan prinsip Tauhid al-Asma wa al-Sifat.

Kekeliruan Pertama:

Ada yang berpendapat masih ada jalan untuk lari daripada maksud penyamaan sifat itu dengan cara metakdirkan (mengandaikan) wujudnya perkataan solat antara perkataan Muhammad dan perkataan Tibb. Mengikut andaian ini, maka lafaz selawat itu berubah menjadi seperti berikut:
Dalam lafaz ini, perkataan solat itu berada pada kedudukan maf'ul mutlak (kata kena buat mutlak) yang berfungsi sebagai penguat atau penentu bagi jenis kata kerja salli (selawatkanlah) , disamping ia juga berada pada kedudukan mudhafi (yang disandarkan) kepada perkataan tibb. Berdasarkan kedudukan ini, maka lafaz selawat yang diandaikan itu difahami dengan maksud:
"Ya Allah! selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, dengan suatu selawat yang boleh menjadi rawatan bagi hati dan apa yang boleh menjadi ubat baginya (hati)... sehingga akhir."

Berdasarkan maksud ini, maka tidak berlaku lagi apa yang dikatakan sebagai penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat Allah swt, kerana yang dilihat memberi khasiat perubatan bukan lagi zat nabi Muhammad saw, tetapi selawat yang diucapkan itu. Oleh kerana membaca selawat itu adalah sejenis amal soleh, maka ia termasuk dalam jenis tawasul dengan amal salih yang disyariatkan oleh syara' dengan maksud ini. Maka penyamaan sifat yang dipersoalkan itu tidak berlaku kerana memang tidak ada penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat penyembuh.

Jawapan Kekeliruan Pertama

Pertama: Sayugia diingatkan bahawa sesuatu ungkapan yang mengelirukan itu hanya perlu kepada takdir lughawi (andaian Bahasa) bagi mengelakkan kekeliruan, sekiranya ia memang merupakan nas syara' yang sahih dari al-Quran ataupun al-Sunnah. Adapun ungkapan yang bukan dari nas al-Quran ataupun al-Sunnah (seperti lafaz Selawat Syifa'), maka ia tak perlu kepada takdir lughawi (andaian bahasa) kerana asal usulnya adalah lemah, dan kerana kelemahan itu maka tidak perlu bersusah payah difikirkan andaian bahasa untuknya.
Kedua: Jika diandaikan masih ada kewajaran untuk membuat takdir lughawi bagi lafaz selawat itu dengan alasan kerana ia dicipta dan diamalkan oleh sebahagian ulama, maka perlu ditegaskan bahawa sebarang andaian bahasa mesti disokong oleh kaedah bahasa yang mantap. Mengikut kaedah bahasa arab, jika perkataan maf'ul mutlak hendak dihazafkan (dibuang), maka perkataan yang menggantikan tempatnya mesti dibaca dengan fathah (baris atas). (al-Najjar: Muhamad 'Abd al-'Aziz, Diya' al-Salik Ila Audah al-Masalik li Ibn Hisyam, 2: 127-129)

Dalam hal ini, jika diandaikan berlaku penghazafan (pembuangan) perkataan solat, maka perkataan tibb yang berada pada kedudukan 'pengganti' bagi perkataan solat itu mesti di baca dengan fathah (baris atas). Oleh kerana perkataan tibb yang terdapat di dalam lafaz asal Selawat Syifa' (sebelum dibuat andaian) dibaca dengan kasrah (baris bawah), maka itu menunjukkan bahawa tidak berlaku sebarang penggantian antara perkataan tersebut dengan perkataan lain. Jesteru, andaian kononnya ada perkataan solat sebelum perkataan tibb tidak boleh diterima kerana ia jelas menyalahi kaedah bahasa.

Mungkin ada yang berkata bahawa perkongsian sesuatu sifat Allah dan makhluk tidak semestinya membawa kepada penyamaan sifat tersebut, kerana persamaan nama sifat tidak semestinya menggambarkan persamaan hakikat sifat berkenaan. Dengan perkataan lain jika berlaku perkongsian beberapa sifat seperti sifat hidup, mendengar, melihat dan sebagainya antara Allah dan makhluk maka ia mesti difahami dalam konteks yang berbeza, bersesuaian dengan zat masing-masing. Jika sifat maha hidup, maha mendengar, dan maha melihat Allah swt boleh difahami dalam konteks yang berbeza dengan sifat hidup, mendengar dan melihat makhluk, maka sifat maha penyembuhnya juga boleh difahami dalam konteks yang berbeza antara kedua-duanya.

Jawapan Kekeliruan Kedua:

Pertama: Memang diakui bahawa perkongsian sesuatu sifat antara Allah dan makhluk tidak semestinya membawa kepada penyamaan sifat tersebut, seperti yang berlaku pada sifat hidup, mendengar, melihat, bercakap, dan sebagainya. Tetapi persoalannya di sini, sifat 'penyembuh' yang diberikan kepada Nabi saw itu diungkap melalui gaya bahasa yang mengandungi unsur mubalaghah (bersangatan) . Maka itu, bagaimanakah sifat maha penyembuh yang diberikan kepada Nabi saw itu boleh difahami dengan maksud yang tidak menimbulkan kesyirikan dengan sifat maha penyembuh Allah swt?

Kedua: Bagaimana hendak digambarkan bahawa Nabi Muhammad saw yang telah wafat boleh berfungsi sebagai maha perawat, maha pengubat, maha penyihat dan maha penyembuh kepada orang yang masih hidup?

Kekeliruan Ketiga:

Mungkin ada yang mengatakan bahawa orang yang mengamalkan selawat ini tidak bermaksud menyengutukan sifat nabi Muhammad saw dengan sifat Allah swt, kerana kebanyakan yang mengamalkannya tidak memahami maknanya, atau memahaminya dalam konteks yang tidak ada unsur tasybih.

Jawapan Kekeliruan Ketiga:

Pertama: Alangkah mujurnya jika keadaan si pengamal selawat itu benar-benar seperti yang diandaikan, tetapi adakah realiti mereka sedemikian? Ramai yang cuba berbaik sangka dengan semua amalan umat Islam, lalu mereka rasa tidak perlu untuk menjelaskan kekeliruan mereka. Di sini, perlu ada kesedaran bahawa perkara aqidah tidak boleh diambil mudah atau didiamkan begitu sahaja dan sikap berbaik sangka perlu ada had sempadannya. Jika dipakai alasan berbaik sangka dalam hal sebegini maka bermakna kita terpaksa biarkan semua ajaran sesat, khurafat dan bid'ah dengan alasan yang sama. Jika alasan berbaik sangka itu boleh diterima dalam persoalan akidah, maka kenapa perlu digezetkan ajaran wahdatul wujud, Martabat tujuh, Hakikat Nur Muhammad dan lain-lain sebagai sesat? (Kesesatan fahaman-fahaman seumpama ini telah dijelaskan oleh pihak berwajib. Lihat Mustafa Abdul Rahman, 2000, Mengenal Ajaran Sesat Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur, hal: 3-7)

Kedua: Dalam kes akidah seumpama ini, bukankah wajar digunakan kaedah Saad al-Zarai' (menutup pintu-pintu kemudaratan) sebagai langkah berwaspada terhadap keselamatan akidah masyarakat Islam? Nabi saw bersabda (maksudnya):

"Jika kamu melampaui memuji ku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuji Isa bin Maryam as. Aku hanyalah seorang hamba Allah, maka katakanlah: seorang hamba dan pesuruh Allah." (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadith ini, Baginda saw melarang para sahabat ra. memujanya sebagaimana golongan Nasrani memuja Nabi Isa as. Sebaliknya baginda menyuruh mereka berpada setakat menyatakan statusnya sebagai seorang hamba dan rasul sahaja. Larangan Nabi saw itu termasuk dalam kaedah Saad al-Zarai' kerana kita sedia maklum bahawa cara para sahabat ra. memuji baginda tidaklah sampai ke tahap menyamakan sifat baginda dengan sifat Allah swt, sebagaimana cara pemujaan kaum Nasrani terhadap Nabi Isa as. Tetapi baginda saw tetap melarangnya kerana bimbang sekiranya perbuatan itu akan membawa kepada kesyirikan dan kekufuran tanpa disedari, sepertimana yang berlaku kepada golongan Nasrani. Pendekatan Nabi saw melarang para sahabat r.a. daripada memujinya secara berlebihan adalah antara contoh paling tepat yang menunjukkan keperluan mengaplikasikan kaedah Sad al-Zarai' dalam menangani persoalan akidah.

* Artikel ini adalah ringkasan dari artikel 'Menilai Salawat Syifa' tulisan Dr Azwira Abdul Aziz, Pensyarah di Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Read More...