26 November 2006

Pengurusan Masa Dalam Islam

Leave a Comment

PENGURUSAN MASA

1.0 PENGENALAN

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 33-34:
Maksudnya: "Dan Dia telah menundukkan bagi kamu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya) dan telah menundukkan bagimu malam dan siang. Dan Dia telah memberi kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu pohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya."

Kejayaan seseorang individu adalah bergantung kepada usahanya ke arah menyempurnakan segala tanggungjawab dalam pelajaran, dakwah, keluarga dan masyarakat. Seseorang individu mungkin sibuk dalam kehidupannya dengan berbagai-bagai tugas dan tanggungjawab. Walau bagaimanapun, dalam menyusun atau memprogramkan kehidupan, seseorang individu itu hendaklah menjaga keseimbangan aktiviti seperti mengambil perhatian terhadap study, menyempurnakan kerja-kerja dakwah dan jemaah, berinteraksi dengan masyarakat dan mewujudkan suasana yang solihah dalam rumah (keluarga).

Secara umum, pengurusan diri yang baik adalah berhubungkait dengan :

1) Perancangan yang rapi
2) Pengurusan yang teratur
3) Pemikiran yang tajam
4) Pengawalan yang bijaksana

Persoalan pengurusan diri bukanlah perkara baru. Ianya telah ditekankan sejak kewujudan manusia itu sendiri. Seluruh para nabi serta ayat-ayat Al-Quran banyak mangajar kita tentang perkara ini.

Kertas kerja ini Insya-Allah akan memberi penekanan di persekitaran membentuk peribadi yang bijak mengatur dan memikirkan urusan hidupnya dalam lingkungan masa yang terhad dalam dunia hari ini.

2.0 KEDUDUKAN MASA DALAM ISLAM

Untuk menjelaskan betapa pentingnya masa, Allah Taala telah bersumpah mengenainya dalam beberapa permulaan surah di dalam Al-Quran. Antaranya ialah:

1) Surah Al-Lail ayat 1-2
2) Surah Al-Fajr ayat 1-2
3) Surah Ad-Dhuha 1-2
4) Surah Al-Asr ayat 1-2

Mengikut ulamak tafsir bahawa bilamana Allah bersumpah dengan sesuatu dari kejadianNya, itu adalah bertujuan untuk menarik perhatian manusia terhadapnya (makhluk itu) dan ingin mengingatkan akan faedah dan kesannya terhadap manusia.

Kemudian datang pula sunnah menguatkan lagi tentang kepentingan masa. Antaranya:

لن تزول قدما عبد يوم القيامة حتى يسئل عن أربع خصال : عن عمره فيما افناه ، وعن شبابه فيما أبلاه ، وعن ماله من اين اكتسب وفيما انفقه ، وعن علمه ماذا عمل به

Demikian manusia disoal tentang umurnya secara umum dan diikuti pula tentang zaman mudanya secara khusus, yang mana zaman muda itu adalah satu juzuk daripada umur. Imam Al-Banna pula dalam salah satu dari wasiatnya ada menyebut tentang waktu dalam kehidupan seorang petugas Islam. Katanya:
الواجب اكثر من الأوقات
Di sana juga ada beberapa pepatah arab tentang masa. Antaranya:

الوقت كا لسيف ان لم تقطعه قطعك
من كا ن يومه كأمسه فهو مغدون
ومن كا ن يومه شرا من أمسه فهو ملعون

3.0 PERANCANGAN YANG RAPI

Bertitik tolak dari Al-Quran dan Sunnah serta ungkapan tadi, dapatlah disimpulkan bahawa perancangan yang rapi adalah merupakan intipati kejayaan diri seseorang induvidu dalam hidup.Rasulullah SAW membahagikan masanya secara cermat. Sebahagian untuk orang umum, sebahagian untuk orang-orang khusus, sebahagian beribadah kepada Allah dan sebahagian untuk keluarga. Imam Al-Ghazali merancang masa malamnya dengan membahagikan kepada tiga bahagian yang umum iaitu 1/3 untuk mentelaah kitab, 1/3 untuk beribadah dan 1/3 untuk tidur.

4.0 PENYUSUNAN / PENGURUSAN YANG TERATUR

Masa perlu diurus kerana :

a) Mengawal masa

Dengan adanya jadual waktu, masa anda selama 24 jam sehari semalam dapat digunakan semaksima yang mugkin. Anda dapat mengelakkan diri anda dari membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak banyak memberi faedah.

b) Menjimatkan masa, usaha dan tenaga.

Dengan adanya jadual bertulis, anda akan menyedari kerja-kerja yang perlu diselesaikan satu-persatu secara terancang.

c) Melatih menggunakan waktu secara matang.

Jadual waktu akan melatih anda menggunakan masa yang ada secara terancang untuk mencapai sesuatu matlamat. Ia juga akan melatih anda mendahulukan perkara-perkara yang terpenting dari yang kurang penting.

d) Mengelakkan berlakunya "symptoms" kelam kabut.

'Symptoms' ini sering berlaku dalam keadaan yang terlalu banyak tanpa penyusunan yang rapi dan meletakkan diri dengan berbagai-bagai tugas sebagai amalan biasa.

4.1 Tabiat Pelajar Kita

Di antara kelemahan yang wujud di kalangan kita ialah kegagalan menyusun dan menguruskan masa dengan baik. Apabila perkara ini berlaku, banyak tanggungjawab dan tugas tidak dapat dilaksanakan. Di antara punca kegagalan ialah sikap suka melengah-lengahkan masa.

Antara sebabnya ialah :

1. Kita meyakinkan diri bahawa kita masih ada banyak masa. Biasanya keadaan ini akan membebankan pekerjaan yang mudah hingga tidak mampu dikerjakan lagi kemudiannya.

2. Kita tidak nampak kepentingan sesuatu pekerjaan itu. Ini mungkin kerana hasilnya terlalu jauh untuk kita bayangkan. Oleh itu, kerapkali kita menganggap pekerjaan begini kurang mustahak.

3. Tiada desakan atau tekanan untuk menyempurnakan tugas tersebut. Ada di antara kita hanya akan bekerja setelah didesak oleh sesuatu.

4. Tugas itu kita rasakan terlalu sukar, remeh atau tidak enak untuk dikerjakan segera.

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mengatasi tabiat suka berlengah-lengah ini:

1. Di antara perkara yang paling asas dalam pengurusan masa ialah menyedari bahawa hidup kita ini ialah dengan tujuan mengabdikan diri kepada Allah. Mereka yang lalai dan suka berlengah- lengah tidak dapat memenuhi tujuan ini. Firman Allah Taala dalam surah Al-Mukminum ,ayat 115:

Maksudnya: "Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja) dan bahawa kamu tidak dikembalikan kepada Kami?".

2. Al-Quran sendiri menyarankan orang-orang yang inginkan akhirat supaya bersegera mencari keredhaan Allah dan juga berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan di akhirat. Firman Allah Taala dalam surah Ali- Imran ,ayat 133:

Maksudnya: "Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa."

3. Buatkan satu jadual tugas dan patuhi jadual tersebut. Belajarlah bekerja berpandukan jadual tersebut dan cuba untuk tidak melanggarinya.

4. Amalkan disiplin diri. Anggapkan segala tugas adalah mustahak dan perlu diselesaikan segera.

5. Catitkan kerja-kerja yang terbengkalai dan tentukan tarikh baru untuk memulai dan menyelesaikannya.

6. Belajar menilai hasil tugas. Tentukan sama ada tugas itu berfaeadah atau tidak. Jika tidak berfaedah, eloklah ditinggalkan sahaja.

4.2 Teknik Pengurusan Masa

a) Senaraikan aktiviti harian anda yang dibuat (things to do).

Dengan adanya suatu aktiviti harian yang lengkap untuk masa satu minggu, anda akan dapat memperuntukkan untuk setiap aktiviti tersebut mengikut waktu yang munasabah.

b) Menyusun jadual (things to do) mengikut "priority"

Anda perlu memastikan waktu yang paling munasabah untuk mengulangkaji pelajaran. Pastikan anda mengkhususkan waktu-waktu ini untuk mengulangkaji dan meletakkan aktiviti yang lain pada waktu yang kurang sesuai untuk ‘study’.

c)Pastikan perkara-perkara berikut sewaktu menyusun jadual aktiviti mingguan anda:

i. waktu bangun tidur
ii. waktu makan
iii. waktu ke kuliah
iv. waktu mengulangkaji
v. waktu berorganisasi
vi. waktu ziarah
vii. waktu tidur
viii.aktiviti hujung minggu

d)Mengatur "things to do" dalam tiga kategori:
1. perkara yang mesti dibuat (must do)
2. perkara yang sepetutnya dibuat (should do)
3. perkara yang mungkin dibuat (might do)

e)Setelah diteliti dan diambilkira kesemua aktiviti dan masalah di atas, maka barulah dipindahkan jadual aktiviti tersebut kepada suatu jadual sebenar.

5.0 PEMIKIRAN YANG TAJAM

Perkara yang perlu diambilkira:
a) Kita hanya mempunyai beberapa jam dalam sehari.
b) Kita hanya memiliki tenaga fizikal dan mental yang terhad dalam sehari yang boleh digunakan. Oleh itu, dengan menumpukan tenaga dan usaha dalam priority yang terancang akan memastikan tenaga yang terbuang dengan sia-sia menjadi semakin berkurangan.

Beberapa persoalan untuk diri sendiri:
a) "Apakah yang akan berlaku sekiranya perkara ini tidak dilakukan langsung?" Jika jawapannya "Tidak ada apa-apa yang akan berlaku"- maka STOP!!"

b) "Perkara yang manakah dalam senarai aku yang boleh dilakukan oleh orang lain dalam standard yang sama atau lebih baik lagi?" Jika jawapannya "Ada" – Serahkan kepada orang lain!!!

6.0 PENGAWALAN YANG BIJAKSANA

Pengawalan yang kemas dan bijaksana akan menentukan berjaya atau gagalnya urusan harian kita. Sifat tegas dan berpegang kepada perencanaan dalam peringkat ini sangat penting. Kelalaian dalam ketegasan ini akan menyebabkan:

a) perkara yang tidak siap
b) banyak berlaku perkara yang tidak jadi
c) urusan yang banyak tangguh
d) fikiran pening dan fizikal yang letih

7.0 PENUTUP
Islam telah mengajar kita dalam persoalan ini sejak bermulanya dakwah itu sendiri. Malangnya, umat Islam pada hari ini mengabaikan rasa tanggungjawab untuk menguruskan kehidupan dengan teratur disebabkan kelalaian mereka sendiri. Akibat daripada itu:

a) umat Islam mundur dalam kemajuan moden
b) Barat mengambil konsep ini dan seterusnya mencanggihkan pendetailannya dalam kehidupan mereka.
c) Kita terpaksa akur dengan kebolehan mereka dengan mengambil beberapa konsep dan model yang terbukti kejayaannya
d) Menterjemahkannya semula kepada konsep tersebut dalam kehidupan mengikut penyesuaian kita.

Hadis Rasulullah SAW:
نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس الصحة والفراغ
Sekian , wassalam.

0 Komen: