24 April 2007

ISLAM MENUNTUT KECEMERLANGAN DALAM PERNIAGAAN DAN

Leave a Comment
Oleh
Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi

Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia

TUGAS PENIAGA DAN USAHAWAN

Peniaga dan usahawan mempunyai tugas yang istimewa kepada masyarakat.
Sebagai manusia yang dijadikan oleh Allah (SWT), mereka haruslah
melaksanakan segala tugas yang membawa kepada kebahgiaan hidup mereka
bukan sahaja di dunia ini tetapi juga di akhirat kelak. Oleh yang
demikian mereka harus mengabdikan diri kepada Allah (SWT) tanpa
sebarang keraguan. Pengabdian ini amat perlu bagi mereka bukan sahaja
sebagai individu, tetapi juga sebagai salah seorang ahli keluarga
mahupun sebagai salah seorang anggota masyarakat. Tugas-tugas yang
terangkum dalam istilah pengabdian diri ini ialah melaksanakan segala
yang diperintah dan meninggalkan segalah yang dilarang.

Melaksanakan segala yang diperintah ini bukan sahaja terhad kepada
ibadat khusus semata. Ia merangkumi juga tugas-tugas untuk mendapatkan
segala keperluan asas yang boleh menyelamatkan nyawanya, agamanya,
keturunannya dan juga hartanya. Bagi mencapai matlamat
ini, ia harus berusaha sendiri sedaya upaya bagi mendapatkan segala
keperluannya dan bukan hanya boleh bergantung kepada orang lain,
keluarga, mahupun masayarakat atau negara. Selagi ia berdaya melakukan
tugas-tugas ini, selagi itulah ia harus berusaha. Ia sekali-kali tidak
digalakkan untuk hidup di atas usaha orang lain, kecuali jika ia tidak
berupaya atas sebab sakit, masih kanak-kanak atau sudah terlalu tua
atau sebab-sebab lain yang menghilangkan keupayaannya berusaha.

Dalam usaha mencari rezeki inilah peniaga dan usahawan melakukan tiga
tugas penting kepada masyarakat. Pertama, usahawan khususnya,
menghasilkan segala barang dan pekhidmatan yang diperlukan atau
dikehendaki oleh masyarakat. Hakikatnya pada hari ini, usahawan
merupakan manusia yang memikirkan bukan sahaja apakah yang dikehendaki
oleh masyarakat, tetapi berusaha sedaya upaya untuk mencipta atau
menghasilkan barang atau pekhidmatan itu. Usahawanlah yang
mengenalpasti keperluan manusia ini dan mencari jalan untuk memuaskan
keperluan tadi. Misalnya, dalam masyarakat kita hari ini, kita
mempunyai berbagai jenama motokar dari semurah-murahnya kepada
semahal-mahalnya. Motokar-motokar ini telah dibuat atau dihasilkan
selepas melakukan penyelidikan yang amat mendalam tentang segala aspek
pembuatan motokar itu yang dipadankan dengan kesukaan serta kemampuan
masyarakat yang akan membelinya. Segala proses yang dilalui oleh
motokar tadi sehingga hasil akhirnya telah dilakukan untuk memberikan
kepuasan yang paling tinggi kepada masyarakat yang akan membeli
motokar itu. Oleh itu, masyarakat sebgai penggguna bukan sahaja dapat
membeli motokar yang sangat diperlukan, tetapi dalam pada itu dapat
pula memilih antara berbagai jenama, model, warna, prestasi dan harga
motokar yang paling mereka minati.

Begitulah juga halnya dengan berbagai barang dan perkhidmatan lain
yang sememangnya dikeluarkan oleh usahawan. Kita boleh pilih apa
sahaja barang pembuatan kilang, dan kita boleh bayangkan apa yang
telah dilakukan untuk menghasilkan barang tadi. Ushawan juga terlibat
dalam menghasilkan perkhidmatan untuk masyarakat. Misalnya, kita boleh
tempah tiket kapalterbang, hotel penginapan, teksi dan sebagainya
hanya dengan menelefon agensi perjalanan(travel agent). Bahkan
sekiranya kita hendak makan angin di tempat-tempat peranginan atau
mengerjakan haji dan umrah, kita boleh membuat tempahan melalui agensi
perjalanan. Agensi perjalanan inilah yang membuat segala urusan untuk
kita mengikut apa yang kita kehendaki.Perkhidma tan yang diberi oleh
agensi perjalanan dalam membeli tiket kapalterbang, memberitahu hotel
atau rumah penginapan berapa malam kita hendak sewa hotel tersebut,
menempah bas persiaran, dan macam-macam tugas lagi, merupakan satu
dari berbagai perkhidmatan yang dicipta dan dihasilkan oleh usahawan.
Maka tugas usahawan yang pertama ini ialah menghasilkan barang dan
perkhidmatan untuk masyarakat.

Tugas peniaga dan usahawan yang kedua, ialah mengagihkan barang dan
pekhidmatan yang dihasilkan itu kepada masyarakat. Seperti yang kita
maklum, barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh usahawan tadi
bukan sahaja melalui kilang-kilang. Barang-barang seperti ikan,
sayur-sayuran, buah-buahan, yang tidak perlu diproses boleh dipasarkan
terus. Walau bagaimanapun, semua barang yang hendak dipasarkan
memerlukan peniaga-peniaga yang terdiri daripada pemborong, penjual
runcit, peraih dan sebagainya. Tanpa peniaga ini, sudah tentulah
kita terpaksa membeli ikan di tepi laut atau mungkin di tengah laut;
membeli durian di atas bukit atau di tepi hutan; membeli motokar
Mercedes Benz di Frankfurt, Germany dan sebagainya. Setelah membeli
barang-barang ini, kita terpaksa mengangkutnya sendiri ke rumah. Maka
tugas peniaga khususnya dalam membawa barang dan perkhidmatan dari
kilang ke tempat-tempat yang sangat hampir dan selesa bagi masyarakat
merupakan tugas yang sangat penting kepada masyarakat.

Tugas peniaga dan usahawan yang ketiga ialah memberi perkhidmatan
kepada masyarakat dalam menentukan supaya barang dan perkhidmatan yang
telah disediakan dapat digunakan sepenuhnya. Dalam menggunakan barang
dan perkhidmatan yang makin canggih ini, pengguna biasanya menghadapi
berbagai masalah yang memerlukan perkhidmatan peniaga dan usahawan.
Perkhidmatan yang dimaksudkan ini ialah perkhidmatan selepas jualan
(after sales service). Perkhidmatan selepas jualan ini sudah menjadi
satu lagi tugas peniaga kerana kecanggihan barang dan perkhidmatan
yang dihasilkan bagi keselesaan manusia. Tanpa tugas ini, mungkin
barang dan perkhidmatan yang makin bertambah canggih tidak mempunyai
makna kepada masyarakat.

TANGGUNGJAWAB PENIAGA DAN USAHAWAN KEPADA MASYARAKAT

Manusia biasanya berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang digemarinya.
Bagi peniaga dan usahawan, mereka juga manusia biasa yang ingin
mencari kepuasan melalui usaha mereka. Biasanya, peniaga dan usahawan
berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keuntungan yang lumayan.
Dalam mencari keuntungan yang lumayan ini, kita boleh melakukan usaha
kita dengan berbagai cara. Kita boleh menipu, mencuri timbang, tidak
membayar hutang, menindas pekerja, menghasilkan barang yang tidak
tinggi mutunya dan sebagainya. Malangnya, segala yang disebutkan tadi
itu hanya boleh membawa keuntungan dalam jangka pendek sahaja.
Sebaliknya, kita ingin berjaya dan bertambah maju dari masa ke masa.
Kita bukan hendak menjadi kaya dengan cepat dan selepas itu kita
menjadi miskin semula. Justeru itu, kita haruslah sentiasa memikirkan
manfaat atau faedah yang boleh didapati oleh pelanggan atau pembeli
kita kerana dua perkara. Kedua, kita terpaksa bersaing dengan peniaga
dan usahawan yang lain yang juga menjalankan usaha yang sama, menjual
barang yang sama, dan sebagainya. Dalam dunia perniagaan hari ini,
kita harus sedar bahawa persaingan antara peniaga dan usahawan begitu
sengit sekali. Oleh itu kita harus sentiasa mencari sesuatu kelebihan
dalam barang atau perkhidmatan kita yang membolehkan kita bersaing
dengan usahawan dan peniaga yang lain.

Dalam usaha kita untuk meningkatkan daya saing perniagaan kita, kita
harus mencari jalan untuk meningkatkan mutu barangan kita, atau
mengurangkan margin keuntungan, atau memberi perkhidmatan yang lebih
baik, dan sebagainya. Sekiranya kita sentiasa berbuat demikian, maka
lama kelamaan, kita akan menjadi lebih peka terhadap kerenah pengguna.
Tanggungjawab kita akan kita tumpukan kepada apa yang dikehendaki oleh
pengguna dalam apa bentuk sekalipun. Oleh yang demikian, antara
tanggungjawab peniaga dan usahawan ialah:

1. Menentukan mutu barang dan perkhidmatan yang disediakan untuk
pengguna adalah paling baik. Kita harus menentukan supaya tidak ada
barang yang cacat atau rosak yang hendak dijual secara menipu.

2. Mencari jalan bagaimana kita boleh menjual dengan harga paling
murah. Di samping kita mendapatkan keuntungan, kita harus ingat bahawa
harga yang murah memberi kepuasan yang lebih kepada pembeli. Misalnya,
kita boleh mencuba berunding dengan para pembekal untuk mengurangkan
harga barang yang mereka bekalkan, atau meningkatkan keberkesanan
proses pengeluaran dan sebagainya.

3. Berpegang kepada sifat benar dan amanah. Ini merupakan satu
tanggungjawab peniaga dan usahawan kepada masyarakat kerana penipuan
atau pecah amanah merupakan kegiatan mengambil hak pembeli dengan cara
yang batil. Maka, sebarang kecacatan yang ada harus dihuraikan
kelemahannya supaya pembeli tahu apakah kekurangannya.

4. Peniaga dan usahawan harus sentiasa sedar bahawa dalam menjalankan
tugas mereka, mereka sedang memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan
bukan hanya untuk mendapatkan keuntungan. Maka, keselesaan,
keselamatan, kepuasan dan kebahagiaan masyarakat itu harus diutamkan
sentiasa. Hal ini sudah pasti menjadi tanggungjawan peniaga dan
usahawan yang lebih tahu tentang barang dan perkhidmatan yang mereka
sediakan.

DORONGAN KE ARAH KECEMERLANGAN

Sekali imbas kita dapati bahawa peniaga dan usahawan ini mempunyai
banyak tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat. Yang sentiasa
mendorongkan mereka untuk berusaha dengan gigih ialah keuntungan yang
lumayan. Dari keuntungan ini pun mereka perlu mengeluarkan
sebahagian untuk zakat perniagaan (bagi yang beragama Islam) dan cukai
pendapatan.

Soalan yang agak amat penting di sini ialah mengapakah masih ada
manusia yang sangat suka menjadi peniaga dan usahawan? Yang jelas
ialah, peniaga dan usahawan yang berjaya akan memperolehi tiga jenis
ganjaran. Pertama, keuntungan yang lumayan; kedua, kepuasan dari
berpeluang menyumbangkan tiga jenis perkhidmatan yang baik kepada
masyarakat; dan ketiga, kepuasan kerana dapat memberi sumbangan derma
kepada berbagai kegiatan masyarakat dalam bentuk kebajikan dan sosial.

Bagi peniaga dan usahawan Islam pula, ada dua lagi ganjaran yang
disediakan oleh Allah (SWT)untuk mereka selain daripada tiga jenis
ganjaran di atas. Menurut hadith riwayat At-Tirmidzi yang bermaksud:

"Saudagar yang benar dan amanah akan (dikumpulkan pada hari
balasan) bersama-sama para nabi, orang-orang yang benar dan para
syuhada",

Allah (SWT) mengurniakan dua ganjaran lagi kepada peniaga dan usahawan
Muslim, dengan syarat mereka itu bersifat benar dan amanah. Pertama,
Allah (SWT) mengangkatkan pangkat atau darjat mereka di akhirat nanti
ke taraf para nabi, orang-orang benar dan para syuhada'. Taraf yang
dikurniakan ini boleh dikatakan sangat tinggi dan mulia. Bayangkan
sahaja bahawa Allah(SWT) telah menjadikan hanya 124,000 orang Nabi dan
hanya 313 dari mereka adalah para Rasul. Jika kita manusia biasa ini
diberikan taraf yang setara dengan para Nabi, maka kita merupakan
sebilangan kecil sahaja manusia yang bertaraf demikian di akhirat
nanti. Kedua, selain dari taraf yang amat tinggi itu juga diberi
balasan syurga.

Dua ganjaran di akhirat ini akan diberikan kepada semua peniaga dan
usahawan Muslim yang benar dan amanah, tidak kira sama ada mereka
memperolehi keuntungan atau pun kerugian. Maka, bagi mereka yang
beroleh keuntungan tetapi tidak mampu memberi apa-apa derma, maka
golongan ini akan mendapat empat ganjaran sahaja. Bagi mereka yang
mengalami kerugian pula, mereka akan hanya mendapat tiga ganjaran
sahaja. Soalnya sekarang, yang manakah paling baik? Sudah tentulah
mereka yang mendapat lima ganjaran. Mereka ini sebenarnya adalah
peniaga dan usahawan yang cemerlang usaha mereka, cemerlang dari segi
teknik perniagaan mereka, cemrlang juga dari segi akhlaq mereka dan
cemerlang pula dari segi ganjaran mereka. Maka agak amat logik sekali
untuk kita memahami bahawa Islam itu sesungguhnya menuntut umatnya
bukan hanya setakat berniaga dan berusaha, tetapi seharusnya berniaga
dan berusaha dengan cemerlang.

W A L L A H U A ' L A M

0 Komen: