09 July 2008

Kesan Buruk Apabila Kaum Wanita Mula Menguasai IPTA

Leave a Comment
Berhubung dengan berita kebanjiran kaum hawa yang menguasai IPTA beberapa hari yang lepas, saya ingin memetik kata-kata Dr Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya malamih al-mujtama' al-muslim allazi nansyuduhu (Terjemahan: Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan, Penerbitan Seribu Dinar) di dalam isu apabila wanita mula mengambil pekerjaan lelaki.

Sebelum itu mungkin ada yang tertanya-tanya, apa kaitan kebanjiran wanita di IPTA dengan akibat buruk apabila banyaknya wanita yang mula bekerja? Jawapannya kerana kos yang terlalu tinggi untuk belajar di IPTA biasanya akan memaksa graduan wanita untuk terpaksa bekerja demi membayar hutang semasa belajar dahulu, paling tidak pun - mereka tentu sahaja akan berasa rugi untuk tidak bekerja kerana sudah menghabiskan waktu yang begitu panjang semasa belajar di IPTA.

Sifir mudahnya, kebanjiran kaum wanita yang menguasai IPTA pasti akan mengundang kebanjiran yang sama kaum itu menguasai bidang-bidang kerja kelak.

Mengulas hal ini, Dr Yusof al-Qaradhawi telah memetik sebuah artikel tulisan Anne Rode di dalam bukunya yang telah saya sebutkan tadi,

Adalah sangat memalukan bagi negara Inggeris yang telah menjadikan gadis-gadisnya sebagai kekotoran lantaran terlalu bergaul dengan lelaki. Kenapakah kita tidak berusaha untuk menjadikan anak-anak gadis bekerja dengan kerja-kerja yang sesuai dengan tabiat semulajadinya seperti mengurus rumah dan meninggalkan kerja-kerja lelaki untuk kaum lelaki untuk menjamin kehormatan wanita.

Di tempat lain pula beliau menulis,

  • Realitinya, kebanyakan wanita yang bekerja menggunakan khidmat wanita-wanita lain untuk bekerja sebagai pengasuh anak-anak mereka atau menguruskan rumah mereka. Ini bermakna rumah, memerlukan kepada seorang wanita untuk menguruskannya. wanita yang paling baik untuk tugas ini ialah suri serta ratunya berbanding dengan wanita luar yang kebanyakannya tidak diketahui asal-usul, akhlak, pegangan agama, bahasa, pemikiran dan adatnya.

  • Wanita yang bekerja mudah menjadi lesu badannya, panas baran dan ia sendiri memerlukan orang lain untuk menenangkannya.

Seterusnya beliau di dalam membincangkan akan bahaya di sebalik kecenderungan wanita melakukan pekerjaan lelaki telah menulis,
Kesibukan wanita melakukan kerja-kerja lelaki serta menggemarinya tanpa batasan akan memberikan kemudharatan dari pelbagai aspek:
(saya hanya ambil beberapa sahaja daripada buku tersebut)
  • Memberi kemudharatan kepada wanita itu sendiri: Kerana ia akan kehilangan kewanitaannya serta keistimewaannya, malah rumah serta anak-anaknya akan terabai.

  • Memudharatkan anak-anak: kasih sayang, hati dan perhatian seorang ibu tidak akan dapat diganti dengan orang gaji atau pengasuh. Bagaimana mungkin anak-anak akan memperolehinya dari seorang ibu yang menghabiskan waktu siangnya di tempat kerja, sementara apabila dia pulang, dalam keadaan keletihan, kelesuan dan ketegangan. Keadaan fizikal dan psikologinya tidak mengizinkannya untuk memberi didikan yang baik terhadap anak-anaknya.

  • Memudharatkan kaum lelaki: Kerana apabila semua wanita bekerja mereka akan mengambil peluang kerja kaum lelaki. Apabila terdapat pengangguran di kalangan kaum lelaki di dalam sesebuah masyarakat, wanita yang bekerja akan lebih memudharatkan mereka.

  • Memudharatkan pekerjaan itu sendiri: Kerana wanita banyak bercuti disebabkan halangan-halangan semulajadi yang tidak dapat dielakkan seperti haid, hamil, melahirkan serta menyusukan anak dan seumpamanya. Ini akan menganggu jadual pekerjaan dan produktiviti.

  • Memudharatkan akhlak: Sama ada akhlak wanita apabila hilang sifat malunya, akhlak lelaki apabila hilangnya keghairahan lelaki, akhlak generasi akan datang apabila hilangnya didikan semasa kecil malah akhlak masyarakat keseluruhannya apabila mengumpul harta dan menambahkan pendapatan menjadi matlamat utama.

Walaubagaimanapun Dr Yusof al-Qaradhawi juga telah menggariskan panduan di mana wanita harus malah wajib bekerja. Saya juga tidak menafikan kepentingan Doktor Wanita, Pakar Sakit Puan, Jururawat, Guru, dan mana-mana bidang kerja di mana boleh memberikan maslahah kepada kaum wanita amnya. Cuma seharusnya skop pembelajaran dan kerja wanita itu tertumpu kepada bidang yang perlu sahajalah, dan tidak perlu dilebarkan kepada bidang kejuruteraan, komputer, petro-kimia dan lain-lain yang akhirnya akan mengorbankan nilai kewanitaan seperti yang telah disebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradhawi sebelum ini. Saya menyeru, janganlah golongan Muslimat terikut-ikut jejak kumpulan pejuang hak wanita yang membelakangkan agama serta nilai fitrah semula jadi wanita.

Akhirnya sebagai renungan, adakah kita harus bangga dengan kebanjiran wanita di IPTA mengatasi kaum lelaki sekiranya kita tahu akibatnya pada masyarakat nanti adalah sangat buruk? Nilailah dengan akal yang sihat dan hati yang tenang dan bukannya dengan emosi.

Wallahu-a'lam

0 Komen: